Thursday 25 December 2014

Pengenalan diri

Teks: Mohd Syafiq Azhar

Nama sebenar Mohd Syafiq Bin Azhar. Merupakan putera sulung dari kalangan kesemua lima putera hasil perkongsian hidup pasangan guru, Azhar Abd Ghani dan Normala Abu Bakar, ibu dan bapa yang disayangi. Dilahirkan di Johor Bahru pada tanggal 24 Mei 1987, menetap di Kota Tinggi pada peringkat awal tumbesaran, dan melangsungkan proses tumbesaran seterusnya di pekan Batu Kikir, Jempol, Negeri Sembilan.

Mendapat pendidikan awal secara formalnya di Sekolah Kebangsaan Batu Kikir, dan seterusnya Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Kikir. Berbekalkan keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang mengejutkan, langkah mengejar cita-cita diteruskan di MRSM Muadzam Shah yang menjadi saksi permulaan pengembaraan untuk cuba berdiri di atas kaki sendiri. Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang walaupun kurang memberangsangkan, namun serba cukup untuk menjadi jambatan bagi meneruskan pengajian di peringkat diploma, langkah diteruskan dengan kembali menjejakkan kaki di negeri Johor untuk mengejar segulung diploma dalam bidang Reka Bentuk Industri di Politeknik Johor Bahru (Politeknik Ibrahim Sultan).

Kenapa memilih bidang reka bentuk? Sejak dari zaman sekolah rendah, minat dan kecintaan dalam bidang seni memang sudah tidak dapat dibendung lagi. Subjek pendidikan seni bertakhta di hati, buku-buku latihan yang selalu penuh dengan luahan kreativiti turut menjadi saksi bakat yang serba sederhana pinjaman Illahi. Hasil pendedahan awal berkenaan cabang-cabang didalam bidang reka bentuk, keputusan pun dibuat untuk memanfaatkan anugerah pinjaman ini dengan mendalami ilmu-ilmu reka bentuk.

Berlabuhnya tirai pengembaraan di Politeknik, misi untuk membina kerjaya pun bermula. Pengalaman pertama bekerja dalam bidang profesional, diserap masuk memegang jawatan sebagai pereka dalam bahagian penyelidikan dan pembangunan (research and development, R&D) di sebuah syarikat swasta yang berlokasi di Rawang. Bersama syarikat ini yang menjalankan perniagaan barangan perabot pejabat, pengalaman dalam merekabentuk perabot, khususnya kerusi kegunaan pejabat adalah amat bernilai. Perkhidmatan di Rawang hanya sempat mencecah usia 3 tahun 4 bulan. Dalam tempoh  3 tahun 4 bulan ini juga, pelbagai perubahan dalam kehidupan telah berlaku. "Dulu lain, sekarang lain" bak kata Tan Sri S.M. Salim. Dulu bujang, sekarang dah kahwin. Dulu rumah bujang di Rawang, sekarang rumah keluarga mertua di Kuala Lumpur. Dulu berdua, dengan kelahiran puteri terulung dah jadi bertiga.

Lokasi bekerja pun tidak segan silu mengikut arus perubahan. Dari Rawang berhijrah ke Kuala Lumpur. Perkembangan kerjaya pun berubah arah dari bidang rekabentuk industri ke rekabentuk hiasan dalaman. Berkat pengalaman bekerja sebagai pereka pelatih selama 6 bulan bersama sebuah syarikat swasta yang menawarkan perkhidmatan rekabentuk hiasan dalaman, saya dapat menyesuaikan diri dengan perubahan kerjaya dan bidang ini dengan baik.

Dalam situasi sang isteri sebagai suri rumah sepenuh masa, beberapa peluang keemasan yang melintas untuk melakukan kerja-kerja sambilan akan dimanfaatkan sepenuhnya. Pengalaman dalam bekerja secara sambilan diantaranya memberi perkhidmatan '3D visualization' mengikut keperluan pelanggan. Walaubagaimanapun, kelemahan saya dalam mempromosi dan mengiklankan perkhidmatan menjadi tembok untuk memastikan kelangsungan pulangan pendapatan melalui perkhidmatan ini.

Laporan kes-kes yang tidak berperikemanusiaan di tempat asuhan kanak-kanak membuatkan kami gusar untuk menghantar anak yang masih kecil sekaligus membuatkan sang isteri masih terus menjadi suri rumah sepenuh masa. Cubaan sang isteri untuk mencari kerja sering kali menemui jalan buntu dan pelbagai rintangan juga membuatkan kami redha dan mungkin menjadi suri rumah adalah yang terbaik buat kami. Jesteru itu, atas desakan ekonomi semasa dan dorongan keinginan untuk meningkatkan taraf ekonomi keluarga ke satu tahap yang lebih selesa, idea untuk berhenti bekerja dan menjalankan perniagaan sendiri secara serius dan sepenuh masa mula membuak-buak di sanubari. Walaubagaimanapun, pengalaman yang cetek, ilmu perniagaan yang kontang dan modal secubit membuatkan saya buntu, lantas segala idea perniagaan yang awalnya terhidang mula bersembunyi di celahan ilham lalu hilang.

Namun, desakan ekonomi dan keinginan yang tidak pernah pudar, ditambah sepotong impian, di adun dengan bantuan para sahabat membawa kepada tekad untuk menyertai ABDR. Peringkat awal pengenalan dan pendedahan tentang ABDR ini adalah melalui Puan Azuriyah Mohamad yang merupakan salah seorang bekas rakan sekerja sewaktu berkhidmat di Rawang. Jasa mu ku kenang. Semoga perkenalan ini mampu menjadi satu titik tolak untuk saya dalam merealisasikan idea dan impian dengan bantuan serta dorongan guru-guru dan rakan-rakan di dalam ABDR ini.