Monday 16 February 2015

Siri 100 Tabiat Pereka Bebas Berjaya_Siri 3

Teks: Mohd Syafiq Azhar
Sumber: Buku '100 Habits Of Successful Freelance Designer'

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI




Ini merupakan siri ke-3 dalam siri ulasan dan perkongsian buku '100 Habits Of Successful Freelance Designer'. Kita masih lagi dalam kategori yang pertama, 'Leave the nest, flying solo'. Bagi yang ingin membaca pengenalan kepada buku dan kategori pertama, boleh terus ke siri 1 dan siri 2. Baiklah, kita akan terus kepada baki 5 tabiat di bawah kategori pertama ini.

3. Simpan surat perletakan jawatan:-
Berhenti kerja sepenuh masa anda secara mendadak bukannya satu langkah dan keputusan yang bijak. Kerja keras dan lebih masa adalah penting pada peringkat permulaan. Buat projek-projek  rekaan secara sambilan di samping pekerjaan sepenuh masa anda. Apa yang penting di sini adalah untuk memastikan anda mengekalkan momentum sumber projek dan pendapatan sebelum beralih arah dari bekerja makan gaji kepada bekerja sendiri.

4. Persediaan kewangan:-
Sebelum menjadi seorang pereka bebas, anda perlu bersedia dari segi perbelanjaan harian. Berapa wang yang diperlukan untuk perbelanjaan setahun? Bayar rumah, bayar kereta, makan kad kredit, cukai dan pelbagai lagi. Mula membuat kira-kira, ini membantu kita menguruskan pendapatan melalui perniaan kita sebagai pereka bebas, dan secara tak langsung menjadi pemangkin untuk komited dalam perniagaan baru kita.

5. Gali, gali dan gali:-
Sebagai pereka bebas yang bekerja isendiri, anda perlu bekerja keras dan bijak untuk memastikan anda mampu bertahan dalam menjalankan perniagaan sendiri ini. Ini mungkin termasuk memerlukan anda bekerja lebih masa sehingga mengorbankan cuti hujung minggu anda. Pentadbiran dan penggunaan masa yang bijak juga adalah penting. Gunakan masa yang terluang untuk membuat projek peribadi, secara tak langsung memantapkan portfolio anda dan membuka mata kepada bakal pelanggan tentang kemampuan anda.

6. Jangan ambil remeh:-
Pelanggan akan lebih yakin dengan anda dan servis anda melihatkan kepada tahap profesionalisme anda dan perniagaan anda. Nama perniagaan atau syarikat, logo dan identiti, kad nama atau perniagaan, laman sesawang, alamat surat menyurat, portfolio dan seumpamanya, semua ini penting dan mampu meningkatkan potensi perniagaan dan minat pelanggan terhadap servis anda. Kata kunci penting di sini, profesionalisme.

7. Terurus dan pengurusan:-
Cuba bina satu sistem yang membolehkan kerja dan perniagaan anda dalam keadaan terkawal. Kerja-kerja pengurusan ini mungkin nampak remeh dan melecehkan, tapi inilah sebenarnya yang membantu anda terus berada di atas landasan. Kaedah penyimpanan dokumen-dokumen penting, kebolehan untuk menjejak projek-projek yang terdahulu, kebolehan menjejak aliran kewangan dari segi bajet, perbelanjaan dari segi modal dan seumpamanya antara contoh perkara yang perlu dititik beratkan. Ruang kerja yang selesa dan teratur turut menyumbang kepada pengurusan yang baik.

Kesemua 7 tabiat atau langkah-langkah di bawah kategori 'Leave the nest, flying solo' telah pun saya kongsi. Diharapkan sepanjang perkongsian saya dalam 3 siri setakat ini dapat memberi manfaat secara langsung atau pun tidak langsung kepada pembaca. Kita berjumpa lagi dalam siri yang seterusnya untuk kategori yang kedua iaitu 'Just good business'.

Saturday 14 February 2015

Siri 100 Tabiat Pereka Bebas Berjaya_Siri 2

Teks: Mohd Syafiq Azhar
Sumber: Buku '100 Habits Of Successful Freelance Designer'

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI




Kita bertemu lagi dalam siri ulasan dan perkongsian ilmu dari buku '100 Habits Of Successful Freelance Designer'. Seperti yang dijanjikan, untuk siri 2 ini saya akan mengulas dan berkongsi berkenaan kategori pertama dalam buku ini iaitu 'Leave the nest, flying solo' beserta tabiat-tabiat yang tersenarai di bawah kategori pertama ini.

Secara ringkasnya, apa yang cuba disampaikan oleh penulis melalui kategori pertama ini adalah langkah-langkah persediaan bagi seorang pereka sebelum memulakan langkah untuk menjadi seorang pereka bebas atau 'freelance designer'. Penulis turut menerangkan mengapa bekerja sendiri bagi seorang pereka adalah satu langkah yang ideal. 

Suka saya petik kata-kata salah seorang pensyarah sewaktu menuntut di Politeknik dahulu, "nak jadi 'designer' ni, kalau kita buat sendiri barulah berbaloi". Sebaik sahaja menjejakkan kaki ke alam pekerjaan sebagai seorang pereka, barulah kata-katanya betul-betul difahami. Ideanya, jika bekerja sendiri pasti kita akan mengecapi satu kepuasan yang tidak dapat dirasai ketika bekerja makan gaji, antaranya kepuasan dari segi kreativiti yang kurang tersekat, habuan dari segi kewangan, fleksibiliti dalam bekerja dan bermacam lagi. Namun, untuk merealisasikan idea ini bukanlah sesuatu yang mudah. Berikut merupakan tabiat atau pun langkah-langkah yang boleh diaplikasikan sebagai persediaan dan permulaan untuk merealisasikan idea untuk menjadi pereka bebas.

1. Mengenal diri:- 
Apa yang cuba penulis sampaikan disini adalah pentingnya bagi kita untuk menganalisa diri sendiri. Analisa ini bertujuan untuk mengenalpasti kita tergolong dalam golongan orang yang bagaimana dan sekaligus membantu kita untuk menetapkan jangkaan, harapan dan konsep perniagaan kita secara kasar apabila bergelar pereka bebas. 

Kenal pasti kelemahan dan kelebihan diri, kemahiran dan kebolehan yang ada pada anda. Jika anda merupakan seorang pereka yang masih makan gaji ketika itu, gunakanlah peluang tersebut sebaik mungkin untuk mempelajari perkara-perkara dan ilmu-ilmu baru dalam pelbagai segi dan aspek. Boleh jadi ilmu tersebut akan berguna di masa akan datang apabila anda sudah bergerak sendiri di dalam bidang rekaan.

Penulis juga memberi peringatan untuk menjaga hubungan baik dengan bos dan rakan sekerja di syarikat semasa, mungkin mereka akan menjadi sumber penyelesaian, khidmat nasihat dan bantuan untuk anda di masa akan datang.

2. Rumah atau luar:-
Pereka bebas atau 'freelance designer' bukan bermaksud anda melakukan kerja-kerja rekaan di rumah semata-mata. Sesetengah orang boleh mendapat ilham, idea dan daya fikiran kreatif ketika berseorangan dan begitu juga sebaliknya bagi sesetengah orang yang lain. Ini merupakan salah satu contoh mengapa kita perlu mengenal dan menganalisa diri.

Secara peribadinya, saya sendiri tidak merasa selesa untuk melakukan kerja-kerja rekaan ketika berada di rumah. Saya mudah hilang fokus pada kerja ketika di rumah yang mempunyai banyak faktor-faktor gangguan. Oleh itu, menyewa pejabat sendiri di luar boleh jadi pilihan yang terbaik. Keluar dari rumah ke pejabat, melihat pelbagai benda yang terdapat di persekitaran dan sewaktu perjalanan, komunikasi dengan rakan-rakan dalam pelbagai bidang mampu meningkatkan daya pemikiran kreatif bagi saya secara peribadi.

Walaubagaimanapun, menyewa pejabat sendiri di luar semestinya memerlukan modal yang besar dan mungkin di luar kemampuan kita ketika itu. Ini mungkin boleh diselesaikan dengan cara menetapkan suatu kawasan khas di rumah untuk membuat kerja. Walau apa pun kelebihan atau kelemahan anda untuk bekerja sama ada di rumah mahupun diluar, cuba cari inisiatif lain untuk menutup kelemahan dan mengoptimumkan kelebihan.  

Baiklah, kita masih ada 5 lagi tabiat atau langkah-langkah di dalam  kategori yang pertama(Leave the nest, flying solo) ini. Sampai sini sahaja yang mampu saya kongsikan dalam siri kali ini. Kita bertemu lagi, insyaAllah di dalam siri-siri yang akan datang untuk perkongsian yang seterusnya.

Friday 13 February 2015

Siri 100 Tabiat Pereka Bebas Berjaya_Siri 1

Teks: Mohd Syafiq Azhar
Sumber: Buku '100 Habits Of Successful Freelance Designer'

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI




Ini merupakan siri pertama ulasan dan perkongsian ilmu yang saya dapat hasil dari bacaan buku '100 Habits Of Successful Freelance Designer'. Buku ini merupakan salah satu hasil pembelian sewaktu misi kembara mencari buku di pesta buku 'Big Bad Wolf' tempoh hari. Tajuk buku ini membuatkan saya secara peribadi tanpa segan silu terus membelinya. Sebagai seorang pereka, terma 'freelance' atau pereka bebas bukanlah sesuatu yang janggal. Akan tetapi, secara peribadinya saya sendiri pun kurang arif berkenaan selok belok untuk bergelar pereka bebas ini. Oleh itu, diharap dengan perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada semua pembaca dan pereka yang ingin terbang bebas khususnya.

 Pertamanya, buku ini dihasilkan oleh penulis melalui hasil perkongsian pengalaman dari beberapa individu yang telah berjaya di dalam kancah pereka bebas atau 'freelance designer'. Walaupun penulisan buku ini tertumpu kepada pereka didalam bidang seni grafik, namun masih boleh dipraktikkan oleh pereka dari bidang lain dan juga bermanfaat kepada umum. 

Di dalam bahagian pengenalan buku ini, penulis menerangkan serba sedikit berkenaan asal usul perkataan 'freelance' dan kaitan perkataan ini dengan pereka. Di akhir perenggan bahagian pengenalan ini turut diselitkan harapan penulis agar buku ini dapat memberi pencerahan dan inspirasi kepada pereka yang berniat mahu menjadi pereka yang bebas dari bernaung di bawah mana-mana syarikat atau bergerak secara solo di bawah naungan syarikat sendiri.

Kesemua 100 tabiat yang dinyatakan didalam buku ini dibahagikan kepada 9 kategori. Kategori yang dimaksudkan adalah seperti berikut:

  • Leave the nest, flying solo
  • Just good business
  • Landing the work
  • Creativity on a budget
  • Working with vendors
  • Making and maintaining a profit
  • Collaborating with other creatives
  • Dealing with downtime
  • Keeping the creative juices flowing 
Sampai sini dahulu ulasan dan perkongsian saya untuk siri 1 ini. Saya akan mengulas dan berkongsi berkenaan kategori pertama(Leave the nest, flying solo) dan tabiat-tabiat di bawah kategori ini dalam entri yang seterusnya(siri 2), insyaAllah. Sehingga bertemu lagi.

Thursday 12 February 2015

Tempahan Blog Header

Teks: Mohd Syafiq Azhar

Alhamdulillah, pertama sekali syukur ke hadrat illahi kerana dengan izinNya berjaya juga saya menyelesaikan tempahan header blog yang pertama. Servis ni bukanlah dirancang, malah saya sendiri pun tidak pernah terfikir servis seperti ini wujud dan ada permintaannya.

Sebenarnya tak pernah terlintas di hati nak buat servis tempahan header blog ni. Permulaannya, hanya menerima pesanan ringkas melalui facebook dari seorang hamba Allah ni yang meminta saya untuk membuat satu lukisan karaktor kartun untuk menggambarkan perniagaan dan servis yang sedang beliau jalankan. Berbekalkan keyakinan dengan kebolehan sendiri, saya buat sahaja tak banyak cerita. Lagipun, sebelum ini memang saya pernah buat karaktor-karaktor kartun untuk beliau.






Menjelang malam setelah selesai segala urusan, saya pun bukalah buku lakaran yang disediakan khas untuk tahun baru, buku yang juga menjadi sebahagian dari azam tahun baru. Zas, zas zas...lakaran pun siap, inilah adatnya membuat lakaran atau rekaan dan sebagainya, kalau idea mari, semua pun laju.. Bila idea menyombong, terkontang-kantinglah kita.

Selesai sahaja lakaran, mulalah proses menekap. Lakaran tadi dimasukkan kedalam komputer dan dilukis semula menggunakan perisian-perisian yang berkenaan. Sebagai penghargaan, suka saya nyatakan proses ini dibantu oleh si isteri kerana beliau lebih faham dan mahir menggunakan perisian komputer yang diperlukan ketika ini.

Keesokan harinya, tuan kepada karaktor ini meminta saya untuk terus membuat rekaan untuk header blog miliknya. Beliau jugalah yang memberi pendedahan kepada saya berkenaan servis tempahan header blog ni. Dari sinilah bermulanya siri kajian-kajian di internet berkenaan servis-servis seumpama ini.




Baik, setelah berhempas pulas selama 3 malam, akhirnya siaplah hasil karya seni grafik yang tak seberapa ni. Maklumlah, sebagai seorang yang masih bekerja sepenuh masa, kerja-kerja tempahan macam ni hanya boleh dilakukan pada waktu malam dan hari cuti sahaja.

Bagi sesiapa yang berminat dengan servis tempahan header blog dan tempahan seni grafik lain-lain, cas yang dikenakan adalah dari serendah RM30, bergantung kepada perincian rekaan. Tempoh siap sesuatu tempahan pula bergantung kepada tahap perincian, kesukaran sesuatu rekaan dan kuantiti tempahan dalam tangan. Untuk maklumat lanjut, boleh menghubungi saya melalui saluran berikut:

Email: ensyafiqazhar@gmail.com
Whatsapp / Telegram: 012-6574760


Wednesday 4 February 2015

Pesta Buku Serigala Jahat Besar

Teks: Mohd Syafiq Azhar

Hari ini masih lagi dalam proses menghabiskan baki cuti. Isteri mengajak saya ke The Mines, ada ekspo buku Big Bad Wolf katanya. Saya pun hanya menurut, bolehlah juga mencari serba sedikit bahan bacaan untuk menambah ilmu. 

Memandangkan buku-buku yang dijual pun dengan harga yang murah, walaupun bukanlah keluaran terbaru, namun tetap memberi manfaat. Banyak juga buku yang kami beli, untuk sendiri dan juga untuk anak.

Disebabkan terpaksa melayan ragam dan kerenah Aira yang baru juga elok dari demam, nafsu membeli belah buku pun tersekat. Tapi kira ada juga baiknya, kalau tak habis semua buku pun rasa nak beli.

Harap maaf, entri kali ini serba kekurangan. Hanya mampu berkongsi sedikit aktiviti hari ini. Gambar pun tak dapat nak disertakan oleh kerana entri ini ditulis menggunakan telefon pintar sahaja, tuan yang menggunakan sahaja yang tak berapa nak pintar sangat, tak tahu macam mana nak masukkan gambar menggunakan aplikasi blog dalam telefon ni.

InsyaAllah projek katil Aira yang tergendala untuk hari ini akan disambung esok. Setakat ini masih lagi dalam proses membuat 3D, InsyaAllah  kalau semuanya berjalan lancar, bolehlah mula membeli barang-barang yang mahu digunakan esok dan seterusnya ke proses pembuatannya.

P/s: Tak dapat tulis blog menggunakan komputer, tak ada internet kerana tidak berbayar barangkali....

Monday 2 February 2015

Projek Sulong

Teks: Mohd Syafiq Azhar

Setelah sekian lama meninggalkan alam pertukangan, ini percubaan pertama untuk kembali bertukang berbekalkan alatan-alatan yang sedia ada dan modal yang serendah mungkin.

Projek sulong ini adalah permintaan dari isteri merangkap mama kepada si cilik Aira. Saya pun tak pasti nak panggil benda ini rumah mainan atau pun katil. Apa yang pasti, niat disebalik projek ini supaya si Aira lebih teruja untuk belajar tidur sendiri dan berasingan dari kami. Selain itu, boleh lah juga dijadikan tempat dan kawasan permainannya didalam rumah.

Kebetulan pula baki cuti yang terkumpul masih banyak, bos pula meminta untuk cuti dihabiskan sebelum bulan April, maka cuti saya akan digunakan sebaik mungkin untuk menyelesaikan projek sulong ini.



Lakaran secara kasarnya idea projek ini telah pun dibuat, mamanya pun suka. Proses seterusnya adalah lukisan 2D dan 3D untuk memberikan perincian kepada idea kasar yang telah dilakarkan, lebih-lebih lagi dalam aspek penyambungan dan kuantiti bahan yang diperlukan. Bahan atau jenis kayu yang akan digunakan masih belum diputuskan, semua bergantung kepada bajet yang ada. Maka, perincian dan perancangan kepada idea dan projek ini sangat penting untuk mengelakkan pembaziran bahan dan wang, dan seterusnya melancarkan lagi proses pembuatannya kelak.

P/s: Komputer dah format tahun lepas, sekarang baru terhegeh-hegeh nak masukkan semula perisian-perisian 3D.

Saturday 31 January 2015

3D Dan Kegunaannya

Teks: Mohd Syafiq Azhar

Lukisan atau lakaran merupakan satu medium yang lumrah bagi seorang pereka untuk mempersembahkan idea dan rekaan. Lukisan dan lakaran juga lazimnya boleh dibahagikan kepada dua, lukisan 2D dan lukisan 3D. Dalam zaman IT ini, hampir keseluruhan lukisan tidak kira sama ada 2D mahupun 3D dilakukan secara berkomputer.

Lukisan 2D dan 3D masing-masing mempunyai kepentingan yang tersendiri. Dalam sesetengah sektor, satu gambar pandangan lukisan perspektif 3D berkomputer bernilai ratusan malahan boleh mencecah ribuan ringgit. Apa yang ingin dikupas dalam penulisan kali ini adalah berkenaan kegunaan atau kepentingan lukisan 3D.



Sumber: Google (Contoh pandangan atas, hadapan dan sisi yang disokong oleh lukisan 3D yang juga dipanggil pandangan isometrik)

Meningkatkan kualiti komunikasi pereka kepada semua - Lukisan 2D seringkali dikaitkan dengan lukisan kejuruteraan / lukisan unjuran yang mempersembahkan sudut pandangan dari atas, depan dan sisi. Walaubagaimanapun, bukan semua orang mampu atau mahir membaca dan memahami lukisan tersebut. Dengan sokongan lukisan 3D di sini mampu membantu meningkatkan kefahaman pelanggan, bos atau sesiapa sahaja berkenaan sesuatu rekaan dan idea.


home interior paint color schemes 
Sumber: Google

Mengenal pasti kelemahan dan masalah dalam rekaan - Saya mengambil contoh berdasarkan pengalaman. Dalam industri pembuatan perabot pejabat contohnya, melalui lukisan 3D dan simulasi yang mampu dijalankan dengan menggunakan sesetengah perisian komputer, seorang pereka boleh mengesan kelemahan sesuatu rekaan dalam aspek ketahanan produk, penyambungan atau kemasan dan lain-lain. Dalam bidang rekaan hiasan dalaman pula, pereka mahu pun pelanggan dapat melihat dari sudut estetika atau skima warna bagi sesuatu ruang yang direka dan dipersembahkan melalui gambar sudut perspektif 3D berwarna. Lukisan 3D ini mampu dijana oleh perisian 3D sehingga kita melihatnya seolah-olah melihat foto hasil yang sebenar.



Sumber: Google (Contoh iklan penjualan rumah)

Pemasaran produk - Contoh paling mudah dapat kita lihat dalam penjualan perumahan-perumahan yang baru dibina atau akan dibina. Bakal pembeli akan dihidangkan dengan pelbagai gambar bangunan atau rumah yang cantik beserta informasi yang berkenaan, disertakan gambar rekaan atau ruang dalaman yang serba indah. Hampir keseluruhan gambar-gambar tersebut adalah lukisan 3D yang dijana secara berkomputer. Taktik pemasaran ini juga tidak terhad dalam penjualan rumah, malah diguna pakai dalam industri lain termasuklah penjualan perabot dan pelbagai produk lain. Lukisan 3D yang cantik menjadi medium sokongan untuk menarik minat bakal pembeli dan seterusnya meningkatkan potensi jualan. 



Sumber: Google

Dokumen sokongan yang wajib - Bagi sesetengah pihak, lukisan perspektif 3D berkomputer merupakan salah satu dokumen sokongan yang wajib disertakan dalam sesuatu projek. Sebagai contoh, cadangan untuk menganjurkan pameran dan jualan langsung kereta di dalam pasaraya, gambaran lukisan perspektif 3D berkaitan suasana dan ruang didalam pasaraya yang akan digunakan bagi pameran tersebut perlu disertakan sekali bersama kertas kerja dan diserahkan kepada pihak pengurusan pasaraya untuk permohonan kelulusan.

Selain itu, kegunaan 3D juga tidak terhad dalam bidang rekaan sahaja. Malahan digunakan secara meluas dalam bidang-bidang lain seperti animasi, perfileman dan pelbagai lagi untuk menjangkaui batas-batas imaginasi dan realiti. 

Oleh itu, tidak hairanlah jika harga dan nilai sesuatu lukisan 3D agak tinggi kerana ianya mempunyai banyak kegunaan dan melibatkan kemahiran dan kepakaran seseorang pelukis 3D itu.