Saturday 14 February 2015

Siri 100 Tabiat Pereka Bebas Berjaya_Siri 2

Teks: Mohd Syafiq Azhar
Sumber: Buku '100 Habits Of Successful Freelance Designer'

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI




Kita bertemu lagi dalam siri ulasan dan perkongsian ilmu dari buku '100 Habits Of Successful Freelance Designer'. Seperti yang dijanjikan, untuk siri 2 ini saya akan mengulas dan berkongsi berkenaan kategori pertama dalam buku ini iaitu 'Leave the nest, flying solo' beserta tabiat-tabiat yang tersenarai di bawah kategori pertama ini.

Secara ringkasnya, apa yang cuba disampaikan oleh penulis melalui kategori pertama ini adalah langkah-langkah persediaan bagi seorang pereka sebelum memulakan langkah untuk menjadi seorang pereka bebas atau 'freelance designer'. Penulis turut menerangkan mengapa bekerja sendiri bagi seorang pereka adalah satu langkah yang ideal. 

Suka saya petik kata-kata salah seorang pensyarah sewaktu menuntut di Politeknik dahulu, "nak jadi 'designer' ni, kalau kita buat sendiri barulah berbaloi". Sebaik sahaja menjejakkan kaki ke alam pekerjaan sebagai seorang pereka, barulah kata-katanya betul-betul difahami. Ideanya, jika bekerja sendiri pasti kita akan mengecapi satu kepuasan yang tidak dapat dirasai ketika bekerja makan gaji, antaranya kepuasan dari segi kreativiti yang kurang tersekat, habuan dari segi kewangan, fleksibiliti dalam bekerja dan bermacam lagi. Namun, untuk merealisasikan idea ini bukanlah sesuatu yang mudah. Berikut merupakan tabiat atau pun langkah-langkah yang boleh diaplikasikan sebagai persediaan dan permulaan untuk merealisasikan idea untuk menjadi pereka bebas.

1. Mengenal diri:- 
Apa yang cuba penulis sampaikan disini adalah pentingnya bagi kita untuk menganalisa diri sendiri. Analisa ini bertujuan untuk mengenalpasti kita tergolong dalam golongan orang yang bagaimana dan sekaligus membantu kita untuk menetapkan jangkaan, harapan dan konsep perniagaan kita secara kasar apabila bergelar pereka bebas. 

Kenal pasti kelemahan dan kelebihan diri, kemahiran dan kebolehan yang ada pada anda. Jika anda merupakan seorang pereka yang masih makan gaji ketika itu, gunakanlah peluang tersebut sebaik mungkin untuk mempelajari perkara-perkara dan ilmu-ilmu baru dalam pelbagai segi dan aspek. Boleh jadi ilmu tersebut akan berguna di masa akan datang apabila anda sudah bergerak sendiri di dalam bidang rekaan.

Penulis juga memberi peringatan untuk menjaga hubungan baik dengan bos dan rakan sekerja di syarikat semasa, mungkin mereka akan menjadi sumber penyelesaian, khidmat nasihat dan bantuan untuk anda di masa akan datang.

2. Rumah atau luar:-
Pereka bebas atau 'freelance designer' bukan bermaksud anda melakukan kerja-kerja rekaan di rumah semata-mata. Sesetengah orang boleh mendapat ilham, idea dan daya fikiran kreatif ketika berseorangan dan begitu juga sebaliknya bagi sesetengah orang yang lain. Ini merupakan salah satu contoh mengapa kita perlu mengenal dan menganalisa diri.

Secara peribadinya, saya sendiri tidak merasa selesa untuk melakukan kerja-kerja rekaan ketika berada di rumah. Saya mudah hilang fokus pada kerja ketika di rumah yang mempunyai banyak faktor-faktor gangguan. Oleh itu, menyewa pejabat sendiri di luar boleh jadi pilihan yang terbaik. Keluar dari rumah ke pejabat, melihat pelbagai benda yang terdapat di persekitaran dan sewaktu perjalanan, komunikasi dengan rakan-rakan dalam pelbagai bidang mampu meningkatkan daya pemikiran kreatif bagi saya secara peribadi.

Walaubagaimanapun, menyewa pejabat sendiri di luar semestinya memerlukan modal yang besar dan mungkin di luar kemampuan kita ketika itu. Ini mungkin boleh diselesaikan dengan cara menetapkan suatu kawasan khas di rumah untuk membuat kerja. Walau apa pun kelebihan atau kelemahan anda untuk bekerja sama ada di rumah mahupun diluar, cuba cari inisiatif lain untuk menutup kelemahan dan mengoptimumkan kelebihan.  

Baiklah, kita masih ada 5 lagi tabiat atau langkah-langkah di dalam  kategori yang pertama(Leave the nest, flying solo) ini. Sampai sini sahaja yang mampu saya kongsikan dalam siri kali ini. Kita bertemu lagi, insyaAllah di dalam siri-siri yang akan datang untuk perkongsian yang seterusnya.

No comments:

Post a Comment