Saturday 31 January 2015

3D Dan Kegunaannya

Teks: Mohd Syafiq Azhar

Lukisan atau lakaran merupakan satu medium yang lumrah bagi seorang pereka untuk mempersembahkan idea dan rekaan. Lukisan dan lakaran juga lazimnya boleh dibahagikan kepada dua, lukisan 2D dan lukisan 3D. Dalam zaman IT ini, hampir keseluruhan lukisan tidak kira sama ada 2D mahupun 3D dilakukan secara berkomputer.

Lukisan 2D dan 3D masing-masing mempunyai kepentingan yang tersendiri. Dalam sesetengah sektor, satu gambar pandangan lukisan perspektif 3D berkomputer bernilai ratusan malahan boleh mencecah ribuan ringgit. Apa yang ingin dikupas dalam penulisan kali ini adalah berkenaan kegunaan atau kepentingan lukisan 3D.



Sumber: Google (Contoh pandangan atas, hadapan dan sisi yang disokong oleh lukisan 3D yang juga dipanggil pandangan isometrik)

Meningkatkan kualiti komunikasi pereka kepada semua - Lukisan 2D seringkali dikaitkan dengan lukisan kejuruteraan / lukisan unjuran yang mempersembahkan sudut pandangan dari atas, depan dan sisi. Walaubagaimanapun, bukan semua orang mampu atau mahir membaca dan memahami lukisan tersebut. Dengan sokongan lukisan 3D di sini mampu membantu meningkatkan kefahaman pelanggan, bos atau sesiapa sahaja berkenaan sesuatu rekaan dan idea.


home interior paint color schemes 
Sumber: Google

Mengenal pasti kelemahan dan masalah dalam rekaan - Saya mengambil contoh berdasarkan pengalaman. Dalam industri pembuatan perabot pejabat contohnya, melalui lukisan 3D dan simulasi yang mampu dijalankan dengan menggunakan sesetengah perisian komputer, seorang pereka boleh mengesan kelemahan sesuatu rekaan dalam aspek ketahanan produk, penyambungan atau kemasan dan lain-lain. Dalam bidang rekaan hiasan dalaman pula, pereka mahu pun pelanggan dapat melihat dari sudut estetika atau skima warna bagi sesuatu ruang yang direka dan dipersembahkan melalui gambar sudut perspektif 3D berwarna. Lukisan 3D ini mampu dijana oleh perisian 3D sehingga kita melihatnya seolah-olah melihat foto hasil yang sebenar.



Sumber: Google (Contoh iklan penjualan rumah)

Pemasaran produk - Contoh paling mudah dapat kita lihat dalam penjualan perumahan-perumahan yang baru dibina atau akan dibina. Bakal pembeli akan dihidangkan dengan pelbagai gambar bangunan atau rumah yang cantik beserta informasi yang berkenaan, disertakan gambar rekaan atau ruang dalaman yang serba indah. Hampir keseluruhan gambar-gambar tersebut adalah lukisan 3D yang dijana secara berkomputer. Taktik pemasaran ini juga tidak terhad dalam penjualan rumah, malah diguna pakai dalam industri lain termasuklah penjualan perabot dan pelbagai produk lain. Lukisan 3D yang cantik menjadi medium sokongan untuk menarik minat bakal pembeli dan seterusnya meningkatkan potensi jualan. 



Sumber: Google

Dokumen sokongan yang wajib - Bagi sesetengah pihak, lukisan perspektif 3D berkomputer merupakan salah satu dokumen sokongan yang wajib disertakan dalam sesuatu projek. Sebagai contoh, cadangan untuk menganjurkan pameran dan jualan langsung kereta di dalam pasaraya, gambaran lukisan perspektif 3D berkaitan suasana dan ruang didalam pasaraya yang akan digunakan bagi pameran tersebut perlu disertakan sekali bersama kertas kerja dan diserahkan kepada pihak pengurusan pasaraya untuk permohonan kelulusan.

Selain itu, kegunaan 3D juga tidak terhad dalam bidang rekaan sahaja. Malahan digunakan secara meluas dalam bidang-bidang lain seperti animasi, perfileman dan pelbagai lagi untuk menjangkaui batas-batas imaginasi dan realiti. 

Oleh itu, tidak hairanlah jika harga dan nilai sesuatu lukisan 3D agak tinggi kerana ianya mempunyai banyak kegunaan dan melibatkan kemahiran dan kepakaran seseorang pelukis 3D itu. 

Tuesday 13 January 2015

Pelajaran Hari Ini

Teks: Mohd Syafiq Azhar

Ini cerita pasal semalam. Sepatutnya di tulis semalam. Tapi kononnya nak berehat-rehat seketika malam tadi, akhirnya bertukar menjadi berehat sehingga subuh. Jadinya, pagi ni curi masa sekejap untuk post entri ni.

Kerja minggu lepas sudah pon di selesaikan semalam. Nak membolehkan kepada selesai tu, memang macam-macam lah halangannya. Di masa-masa kecederaan tu masih lagi ada isu berkenaan lukisan dan projek dibangkitkan, pertukaran disaat-saat akhir yang boleh membangkitkan perasaan angin satu badan. Kadangkala perkara yang nak ditukar teramatlah remeh, tapi membawa kepada 4 set lukisan terpaksa diubah dan dicetak semula. Bertambah sakit hati kalau perkara yang diubah tu hanya disebabkan bos ataupun kami punya tukang pantau buat kerja ubah fikiran di saat akhir.

Selalunya setiap projek dan lukisan pun memang macam ni. Tak mengira masa, tak mengira hari dan tak mengira tempat. Tekanan yang tak mengira masa dan tak dapat dijangka. Kan bagus kalau bekerja sendiri, sendiri jadi bos. Tapi kalau jadi bos pun sama juga tekanannya, bahkan mungkin lebih teruk. Yelah, selalunya bos yang akan berdepan dan berurusan dengan pelanggan. Setiap pelanggan tu umpama bos juga, haa..berapa ramai bos nak kena hadap? Makanya, buang yang negatif, ambil yang positif.

Sekurang-kurangnya segala tekanan yang dihadapi sekarang mungkin boleh menjadi guru yang terbaik dan latihan persediaan. Persediaan untuk apa? Andai kata InsyaAllah suatu hari nanti kita mampu dan Allah bagi rezeki untuk kita sendiri menjadi bos, kita sudah terbiasa dengan tekanan dan mampu melayan pelbagai kerenah pelanggan yang pada masa tu akan menjadi bos kepada kita.

Semoga Allah permudahkan urusan dunia kita, dan juga urusan akhirat kita. Amin.

Monday 12 January 2015

Sahabat ii

Teks: Mohd Syafiq Azhar


Sambungan daripada entri "Sahabat i".... Mohd Hafiz bin Adam nama diberi. Arwah memang seorang sahabat yang rapat dan baik di kalangan kami bersahabat. Arwah jugalah yang memperkenalkan saya dengan majlis ta'lim anjuran Darul Murtadza ni. Boleh katakan setiap kali ada peluang berjumpa dengan arwah, setiap kali itu jugalah beliau akan mengajak saya turut serta mengikuti majlis ta'lim ni. Seribu daya bagi yang mahu, seribu dalih bagi yang tidak. Setiap kali itu jugalah saya memberi alasan.

Sehinggalah suatu hari saya mendapat panggilan dari rakan sekerja beliau yang memberitahu arwah telah pun pergi menemui Illahi. Kematian itu pasti, kematian juga tidak mengenal usia. Sebagai hambaNya yang lemah, kadangkala kita lupa dan leka. Pemergian arwah sebagai seorang sahabat yang sebaya seusia, memberi peringatan dan kesan yang mendalam kepada saya tentang ajal dan kematian yang bila-bila masa akan datang menjemput kita. Persoalannya, dimanakah kita ketika itu? Apakah yang kita lakukan ketika itu? Siapakah kita ketika itu? Bersediakah kita ketika itu?

Tidak lama selepas pemergian arwah, barulah terdetik dihati untuk cuba menghadiri dan mengikuti majlis ta'lim yang selama ini tanpa jemu arwah cuba memujuk saya. Alhamdulillah, selepas minggu pertama mengikuti, saya merasakan keseronokannya besertakan perasaan untuk terus mengikuti untuk minggu-minggu seterusnya. Saya percaya, kalau kita secara berjemaah dengan sahabat-sahabat mengikuti sesuatu program terutamanya sahabat karib, semangatnya pasti berbeza. Yang dah pergi, tak akan kembali. Yang tinggal hanyalah saya bersendiri setiap minggu di temani orang di kiri dan kanan yang masih asing.

Diharapkan entri ini mampu menjadi secebis ilham, dorongan dan seumpamanya bagi pembacanya. Saya ingin mengambil peluang ini untuk mengajak sesiapa saja pembaca entri ini, untuk sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah kepada arwah secara khususnya, dan kepada kenalan kalian yang lain secara umumnya. Semoga roh
mereka ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Amin.

Saturday 10 January 2015

Sahabat i

Teks: Mohd Syafiq Azhar

Sumber gambar dari Google.

Alhamdulillah, syukur kerana semalam masih diberi peluang dan iltizam untuk bersama-sama duduk dalam kelompok majlis di atas. Selalunya bertemankan telefon bimbit dan kitab-kitab sahaja, minggu ni buat pertama kalinya isteri dan anak dibawa bersama. Seronok, InsyaAllah mahu ikut lagi minggu depan katanya.

Memetik dari pos facebook seorang personaliti usahawan, "Kadang-kadang kita perlu dengar dari 99 orang tentang perkara yang sama dengan suara atau nada yang berbeza tetapi kesedaran benar-benar hadir ketika mendengar dari orang yang ke-100". Pokoknya jangan jemu dalam berpesan-pesan. Apa kaitan majlis di atas, jangan jemu berpesan-pesan dengan alkisah yang mahu disampaikan?

Saya cuma mahu kongsikan pengalaman titik permulaan terbukanya hati untuk menyertai majlis di atas secara istiqamah sehingga ke hari semalam, yang mana berkait rapat dengan memori bersama salah seorang sahabat karib saya. InsyaAllah pengalaman ini akan saya kongsikan dalam entri yang seterusnya.

Semoga roh arwah sahabat saya ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Amin.

Friday 9 January 2015

Lepaskan

Teks: Mohd Syafiq Azhar

Apa yang mahu dilepaskan? Sebenarnya saya mahu kongsi sedikit alkisah satu-satunya anakanda yang baru berumur lebih kurang 2 tahun 2 bulan ni. Semalam si cilik ni bangun awal, sempat jugak bergurau-gurau dengan ayah dia sebelum ayahnya keluar bekerja. Pagi-pagi lagi sudah dimandikan oleh mama.

Selesai dimandikan,  mama pun mengenakan pakaian yang ada gambar watak cerita "Frozen" yang kami beli tidak lama dahulu. Dengan tutur percakapan yang masih dalam dunianya sendiri, secara tak semena-mena beliau terus membuka suara menyanyikan lagu "let it go". Haa..itu la yang lepaskan tu. Hai lah anak, pagi-pagi lagi dah menjadi hiburan hati ayahanda.

Selama ni kalau si anak ni menonton filem "Frozen", memang khusyuk betul. Masa tu tak perlu nak risau kalau si anak ni merayau ke serata pelosok rumah, memang melekat depan kaca TV macam punggung digamkan. Tak tahu lah dah berapa kali ulang tayang dah filem tu, sampai ayahnya pun dah boleh terjebak hafal semua jalan cerita.

Macam-macam betul perangai si puteri sulung ni. Kadangkala terfikir juga, bagaimanalah ibu bapa kita melayan kerenah kita masa kecil dahulu. Sama-samalah renungkan, sayangilah ibu bapa kita.

Semoga anakanda membesar menjadi seorang wanita yang solehah. Mudah-mudahan Allah memberi petunjuk dan jalan untuk aku memdidik anak ini menjadi solehah. Amin.

Thursday 8 January 2015

Hari pertama tahun 2015

Teks: Mohd Syafiq Azhar

Hari pertama untuk tahun 2015 yang dimaksudkan adalah hari pertama bos masuk ke studio konsultan hiasan dalaman kami. Sebenarnya, kami bekerja dalam studio selama ini di bawah pengawasan tuan empunya syarikat dari jarak jauh. Kira percintaan jarak jauh juga lah. Bos selalu berada di Melaka dan studio kami berlokasi di Bukit Pantai, Bangsar.

Hari pertama bos masuk membawa berita gembira kepada saya khususnya, Alhamdulillah gaji dinaikkan lagi untuk tahun kedua berturut-turut. Hari pertama bos masuk juga, beliau membawa satu lumrah kepada para pekerja-pekerja. Daripada semua lukisan hampir siap, membawa kepada lagi 3 hari baru boleh disiapkan. Baru rasa nak lega, dah terjerumus ke lembah terdesakkan. Jawabnya memang tak cukup tidur lah lagi 3 hari ni.

"Work smart, not work hard", bekerja secara bijak, ungkapan yang bagus tetapi saya pun pening bagaimana nak diaplikasikan dalam situasi seperti ini. Walaubagaimanapun, ini lah lumrah bekerja dalam studio ini. Ada masa berehat-rehat, yang selebihnya masa bersesak-sesak. Kadang kala sampai terpaksa bawa balik kerja di rumah, korbankan masa berehat-rehat bersama isteri dan anak di waktu malam.

Pernah saya terdengar ungkapan "di belakang seorang lelaki yang berjaya, ada seorang wanita". Bila difikirkan dalam-dalam, memang ada kebenarannya. Terima kasih kepada sang isteri yang selalu menyokong dan memahami rutin hidup saya selama ini. Bila curi-curi tidur di waktu malam untuk menghilangkan kepenatan, dia ada untuk mengejutkan dengan sabarnya, maklumlah dah berhari-hari tidur tak cukup.

Semoga Allah permudahkan segala urusan dunia, dan permudahkan segala urusan akhirat. Amin.