Monday 12 January 2015

Sahabat ii

Teks: Mohd Syafiq Azhar


Sambungan daripada entri "Sahabat i".... Mohd Hafiz bin Adam nama diberi. Arwah memang seorang sahabat yang rapat dan baik di kalangan kami bersahabat. Arwah jugalah yang memperkenalkan saya dengan majlis ta'lim anjuran Darul Murtadza ni. Boleh katakan setiap kali ada peluang berjumpa dengan arwah, setiap kali itu jugalah beliau akan mengajak saya turut serta mengikuti majlis ta'lim ni. Seribu daya bagi yang mahu, seribu dalih bagi yang tidak. Setiap kali itu jugalah saya memberi alasan.

Sehinggalah suatu hari saya mendapat panggilan dari rakan sekerja beliau yang memberitahu arwah telah pun pergi menemui Illahi. Kematian itu pasti, kematian juga tidak mengenal usia. Sebagai hambaNya yang lemah, kadangkala kita lupa dan leka. Pemergian arwah sebagai seorang sahabat yang sebaya seusia, memberi peringatan dan kesan yang mendalam kepada saya tentang ajal dan kematian yang bila-bila masa akan datang menjemput kita. Persoalannya, dimanakah kita ketika itu? Apakah yang kita lakukan ketika itu? Siapakah kita ketika itu? Bersediakah kita ketika itu?

Tidak lama selepas pemergian arwah, barulah terdetik dihati untuk cuba menghadiri dan mengikuti majlis ta'lim yang selama ini tanpa jemu arwah cuba memujuk saya. Alhamdulillah, selepas minggu pertama mengikuti, saya merasakan keseronokannya besertakan perasaan untuk terus mengikuti untuk minggu-minggu seterusnya. Saya percaya, kalau kita secara berjemaah dengan sahabat-sahabat mengikuti sesuatu program terutamanya sahabat karib, semangatnya pasti berbeza. Yang dah pergi, tak akan kembali. Yang tinggal hanyalah saya bersendiri setiap minggu di temani orang di kiri dan kanan yang masih asing.

Diharapkan entri ini mampu menjadi secebis ilham, dorongan dan seumpamanya bagi pembacanya. Saya ingin mengambil peluang ini untuk mengajak sesiapa saja pembaca entri ini, untuk sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah kepada arwah secara khususnya, dan kepada kenalan kalian yang lain secara umumnya. Semoga roh
mereka ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Amin.

2 comments:

  1. Amin.
    Al Fatihah.
    Kalau boleh dikongsi bersama intipati taalim tuan buat tatapan pembaca sebagai perkongsian ilmu yang moga2 dapat memberi jariah di hari kemudian nanti.

    terima kasih tuan

    ReplyDelete
    Replies
    1. InsyaAllah saya akan kongsikan sekadar yang mampu.

      Terima kasih kembali puan.

      Delete