Saturday 31 January 2015

3D Dan Kegunaannya

Teks: Mohd Syafiq Azhar

Lukisan atau lakaran merupakan satu medium yang lumrah bagi seorang pereka untuk mempersembahkan idea dan rekaan. Lukisan dan lakaran juga lazimnya boleh dibahagikan kepada dua, lukisan 2D dan lukisan 3D. Dalam zaman IT ini, hampir keseluruhan lukisan tidak kira sama ada 2D mahupun 3D dilakukan secara berkomputer.

Lukisan 2D dan 3D masing-masing mempunyai kepentingan yang tersendiri. Dalam sesetengah sektor, satu gambar pandangan lukisan perspektif 3D berkomputer bernilai ratusan malahan boleh mencecah ribuan ringgit. Apa yang ingin dikupas dalam penulisan kali ini adalah berkenaan kegunaan atau kepentingan lukisan 3D.



Sumber: Google (Contoh pandangan atas, hadapan dan sisi yang disokong oleh lukisan 3D yang juga dipanggil pandangan isometrik)

Meningkatkan kualiti komunikasi pereka kepada semua - Lukisan 2D seringkali dikaitkan dengan lukisan kejuruteraan / lukisan unjuran yang mempersembahkan sudut pandangan dari atas, depan dan sisi. Walaubagaimanapun, bukan semua orang mampu atau mahir membaca dan memahami lukisan tersebut. Dengan sokongan lukisan 3D di sini mampu membantu meningkatkan kefahaman pelanggan, bos atau sesiapa sahaja berkenaan sesuatu rekaan dan idea.


home interior paint color schemes 
Sumber: Google

Mengenal pasti kelemahan dan masalah dalam rekaan - Saya mengambil contoh berdasarkan pengalaman. Dalam industri pembuatan perabot pejabat contohnya, melalui lukisan 3D dan simulasi yang mampu dijalankan dengan menggunakan sesetengah perisian komputer, seorang pereka boleh mengesan kelemahan sesuatu rekaan dalam aspek ketahanan produk, penyambungan atau kemasan dan lain-lain. Dalam bidang rekaan hiasan dalaman pula, pereka mahu pun pelanggan dapat melihat dari sudut estetika atau skima warna bagi sesuatu ruang yang direka dan dipersembahkan melalui gambar sudut perspektif 3D berwarna. Lukisan 3D ini mampu dijana oleh perisian 3D sehingga kita melihatnya seolah-olah melihat foto hasil yang sebenar.



Sumber: Google (Contoh iklan penjualan rumah)

Pemasaran produk - Contoh paling mudah dapat kita lihat dalam penjualan perumahan-perumahan yang baru dibina atau akan dibina. Bakal pembeli akan dihidangkan dengan pelbagai gambar bangunan atau rumah yang cantik beserta informasi yang berkenaan, disertakan gambar rekaan atau ruang dalaman yang serba indah. Hampir keseluruhan gambar-gambar tersebut adalah lukisan 3D yang dijana secara berkomputer. Taktik pemasaran ini juga tidak terhad dalam penjualan rumah, malah diguna pakai dalam industri lain termasuklah penjualan perabot dan pelbagai produk lain. Lukisan 3D yang cantik menjadi medium sokongan untuk menarik minat bakal pembeli dan seterusnya meningkatkan potensi jualan. 



Sumber: Google

Dokumen sokongan yang wajib - Bagi sesetengah pihak, lukisan perspektif 3D berkomputer merupakan salah satu dokumen sokongan yang wajib disertakan dalam sesuatu projek. Sebagai contoh, cadangan untuk menganjurkan pameran dan jualan langsung kereta di dalam pasaraya, gambaran lukisan perspektif 3D berkaitan suasana dan ruang didalam pasaraya yang akan digunakan bagi pameran tersebut perlu disertakan sekali bersama kertas kerja dan diserahkan kepada pihak pengurusan pasaraya untuk permohonan kelulusan.

Selain itu, kegunaan 3D juga tidak terhad dalam bidang rekaan sahaja. Malahan digunakan secara meluas dalam bidang-bidang lain seperti animasi, perfileman dan pelbagai lagi untuk menjangkaui batas-batas imaginasi dan realiti. 

Oleh itu, tidak hairanlah jika harga dan nilai sesuatu lukisan 3D agak tinggi kerana ianya mempunyai banyak kegunaan dan melibatkan kemahiran dan kepakaran seseorang pelukis 3D itu. 

No comments:

Post a Comment